Selasa, Mei 20, 2008

10 Wasiat Hassan Al-Banna

1) Wahai kawanku, segeralah tunaikan solat di awal waktu, di kala mendengar azan. Usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan anda. Di situ ada sumber kejayaan Di situ ada sumber pertolongan Di situ ada sumber taufiq. Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran. ... dimulakan dengan menyebut solat di awalnya. Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat... Juga di medan perang. Walaupun... Di saat genting dan cemas.

2) Wahai kawanku, bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya Selalulah berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit Kurangilah dengan masa yang tidak bertujuan Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu Sumber hidayah kepada anda dan saya Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat. Sentiasalah membaca, menghafal dan... Cuba hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir!!! Di sini ada ketenteraman Di sini ada kedamaian Di sini ada kesalaman Jadilah hamba yang sejahtera.

3) Wahai kawanku, dorongkanlah diri untuk menguasai Bahasa al-Quran. Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda telah lama bermula iaitu sejak anda solat setiap hari. Sebut dulu walaupun tak faham. Antara mala petaka pertama menimpa umat kita... Ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya. Juga mengutamakan bahasa pasar. Ayuh !!! Apa tunggu lagi?????? Bukalah ruang walaupun seminit !!!

4) Wahai kawanku, usahlah bertarung idea tanpa adabnya!!! Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan Awasilah pertengkaran Kerana di sana ada unsur lain membisikkan. Syaitannnn namanya !!!

5) Wahai kawanku, Senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam ketawa !!! Rasulullah s. a. w adalah yang paling banyak senyum. Baginda ketawa kena pada tempatnya. Tapi berpada-pada sahaja, wahai kawan ! Plato juga berharap agar pementasan hiburan... Yang tidak bermutu terlalu banyak ketawa bodoh Hanyalah disaksikan oleh golongan abdi Dan orang upahan asing! Begitu juga Aristotle berpendapat Supaya golongan belia ditegah daripada menyaksikan hiburan-hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan. supaya tidak menular. Keburukan dalam diri!!!

6) Wahai kawanku, seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan. Tanpa serius, hilanglah kesungguhan !!! Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan Kata seorang penyair : Berikan kerehatan pada jiwamu Yang sibuk dengan berfikir. Ubati dengan bergurau. Tapi, kalau mengubatinya dengan bergurau mestilah dalam batas seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.

7) Wahai kawanku, kawallah nada suaramu setakat yang diperlukan oleh pendengar di depanmu. Janganlah jadi seperti orang bodoh. Bahkan menyakiti hati orang lain pula!!! Luqman El-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya. Itulah katanya suara keldai!!! Surah al-Isra' memberi tip kepada kita... Jangan keraskan suramu dalam solat. Tapi jangan pula merendahkannya. Carilah jalan tengah di antara keduanya.

8) Wahai kawanku, usahlah umpat mengumpat. Usahlah merendah-rendahkan orang lain. Bercakaplah jika ada unsur kebajikan Ayuh!!! Hindarilah... mengumpat! Tidak sekali mencabuli jemaah-jemaah lain!!! Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama. Sukakah anda memakan daging pasti anda suka!! Tapi sukakah anda memakan daging kawan anda yang telah mati?? Sekali-kali tidak!!! Begitulah dosa orang yang mengumpat. Bertaubatlah jika anda mengumpat Tapi mesti minta ampun terhadap orang umpatanmu bersama!!! Boleh mengumpat... apabila ada tujuan syarie:
* untuk menuntut keadilan apabila dizalimi
* untuk menghapuskan kemungkaran
* kerana memberi amaran kepada Muslim tentang kejahatan
* kerana mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.

9) Wahai kawanku, luaskanlah interaksimu dengan umat manusia, sekalipun mereka tidak diminta berbuat demikian!!! Salam kasih sayang adalah untuk semua Salam kemesraan adalah untuk sejagat. Hulurkanlah, hulurkanlah salam perkenalan...! Lihatlah pensyariatan ibadah haji. Pelbagai bangsa datang berkunjung!!! Pelbagai lapisan datang berkunjung!!! Pelbagai darjat datang berkunjung!!! Sama-sama menjunjung obor suci Tidak mengenali tapi tak sepi.

10) Wahai kawanku, maksimumkanlah faedah waktu anda dan Tolonglah orang lain supaya memanfaatkan masa. Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan. Bijaksanakanlah menggunakan waktu anda! Bersegeralah, kerana... Sabda Nabi s. a. w bermaksud : "Bertindak segeralah melakukan amal..." (Diulang 7 kali..) Sayangilah masa saudaramu!!! Hormatilah waktu mereka!!! Usahlah berbicara meleret-leret... Tanpa haluan dan noktahnya..

Khamis, Mei 08, 2008

Allah Sentiasa Menerima Doa

Insan hendaklah bersangka baik dengan Allah. Meyakini bahawa Allah senantiasa melimpah ruahkan rahmatNya. Mendampingkan diri kepada Allah menerusi jendela perbuatan dan amalan yang diredhai. Apabila Allah redha kepadanya, maka dia akan merasakan betapa Allah itu hampir dan tidak jauh darinya.

Sebenarnya, insan itulah yang selalu menjauhkan dari Allah. Apabila dia ditimpa cubaan dia bertanya di mana Allah? Sikap dan akhlak insan terhadap Allah selalu menyebabkan insan hilang pedoman, merasa diri dipencilkan dan tiada tempat yang ingin mendengar rintihannya. Sedangkan tempat untuk mengadu dan merintih senantiasa terbuka di sisi Allah.

Kadang-kala seseorang insan rela ke sana-sini memohon bantuan bagi sesuatu pekerjaan dan urusannya dari makhluk sehingga terlupa untuk memohon bantuan dan bertawakkal kepada Allah. Bersusah payah insan berjumpa orang lain demi mengadu rasa hati dan derita sehingga dia lupa untuk mengadu kepada Allah yang senantiasa mendengar rintihan hamba dengan penuh rahmat.

Ini semua kerana insan merasakan Allah itu jauh darinya dan dia lupakan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya engkau (Wahai Muhammmad) tentangKu, (maka jawablah) sesungguhnya Aku ini hampir, Aku menjawab seruan sesiapa yang berdo'a kepadaKu apabila dia berdo'a. Maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintahKu) dan beriman kepadaKu mudah-mudah mereka selalu berada di atas petunjuk”

Ya! Allah itu hampir dan amat sudi untuk segala do'a yang diangkat kepadaNya. Justeru itu sangat menghairankan bila adanya insan yang meninggalkan do'a kepada Allah yang hampir kepadaNya lalu mendapatkan makhluk-makhluk yang tidak terdaya untuk mengadu segala rasa hati dan dukacita. Padahal kita tahu bahawa sikap makhluk apabila terlalu banyak diminta maka bertambah rasa bosannya sedangkan Allah pula lagi banyak kita mengadu dan meminta bertambah pula kasih dan sayangNya.

Allah tidak jauh daripada setiap hamba. Yang menjadikan Allah itu jauh daripada kita ialah diri kita sendiri. Hati yang tidak merasai kewujudan dan rahmat Allah serta kefahaman yang tidak betul terhadap agama selalu menjauhkan perasaan manusia daripada Allah.

Sesiapa yang hatinya bersih akan menangislah dia apabila membaca ayat di atas. Betapa Allah dengan penuh kasih sayang meminta kepada RasulNya agar memberitahu bahawa Dia sangat hampir kepada mereka serta mendengar do'a dan rintihan mereka.

Kita diajar di dalam Islam agar senantiasa bergantung kepada Allah nescaya kita dapati Allah senantiasa bersama kita. Sabda Nabi s.a.w kepada Ibnu `Abbas ketika itu dia masih kecil, maksudnya:
"Wahai anak kecil! Sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimat, iaitu, jagalah Allah (jagalah perintahNya) nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah (jaga perintahNya) nescaya engkau dapati Dia berada di hadapanmu (menunaikan keperluanmu) . Apabila engkau memohon pohonlah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan minta tolonglah daripada Allah." (Riwayat al-Tirmizi hadith ke-2516, katanya hadith ini hasan sahih)

Apabila seseorang menjaga agamanya, memelihara tanggungjawabnya sebagaimana dititah perintahkan Allah kepadanya, maka dia akan merasa betapa Allah bersama dengannya semua urusannya.

Firman Allah dalam Surah al-Ghafir ayat 60 yang bermaksudnya: "Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdo'alah kepadaKu nescaya Aku menjawab untuk kamu"

Mungkin akan ada yang bertanya: "Allah telah memberitahu bahawa Dia pasti menerima do'a sesiapa yang berdo'a kepadaNya namun mengapa masih ada insan yang berdo'a tetapi kesan do'anya tidak dapat dilihat secara zahir?". Untuk itu, maka para `ulama telah menjawab persoalan ini, antaranya, apa yang dijelaskan oleh al-Imam al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Quran bahawa perkataan ajib dan astajib (aku memperkenankan do'a) bukanlah bererti semestinya setiap do'a itu ditunaikan secara mutlak atau terperinci seperti yang dipohon.. Bahkan do'a seseorang mungkin dimakbulkan melalui salah satu dari tiga cara seperti yang disebutkan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadith Abi Sa`id al-Khudri di bawah, maksudnya:

"Tidak ada seorang muslim pun yang berdo'a dengan sesuatu do'a yang tidak ada di dalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, melainkan Allah akan beri salah satu dari 3 perkara; sama ada disegerakan untuknya (dimakbulkan di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat (diberi balasan baik pada akhirat), ataupun diselamat dia dari keburukan yang seumpamanya. "

Kata al-Imam al-Syaukani dalam Tuhfah az-Zakirin : Hadith ini riwayatkan oleh al-Imam Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya'la, kata al-Munziri: Sanadnya sahih (m.s. 65, cetakan. Lubnan)

Menerusi hadith di atas, baginda Nabi s.a.w. telah menerangkan kepada kita bahawa setiap do'a yang tidak mempunyai sebab-sebab ditolak akan pasti diterima oleh Allah menerusi tiga keadaan berikut;

Pertama: Dimakbulkan segera di dunia. Inilah yang biasanya menjadi harapan setiap yang berdo'a. Ramai di kalangan insan yang memperolehi kurniaan. Hasil kesungguhan mereka berdo'a, Allah makbulkan buat mereka. Kadang-kala dengan begitu pantas. Kadang-kalanya dilewat disebabkan hikmah yang Allah Maha Mengetahui. Tiada yang mustahil untuk Allah menerima do'a seseorang sekali dianggap mustahil oleh manusia. Lihatlah seorang wanita dari Aljeria yang mengidap penyakit barah yang segala doktor yang dia pergi mendapatkan rawatan mereka berputus asa. Akhirnya dengan aduan dan rintihan yang sungguh-sungguh kepada Allah, dia sembuh tanpa sebarang kesan barah yang mengkagumkan seluruh pakar perubatan negaranya. Kata wanita itu: “Saya telah mengadu kepada Dia yang tiada tempat pergi dan lari dariNya, itulah Allah. Demikian kiranya do'a dimakbulkan.

Kedua: Tidak dilihat kemaqbulannya di dunia tetapi disimpan untuk balasan kebaikan yang besar di akhirat di atas hikmah yang hanya dihendaki oleh Allah. Kalau ini berlaku hendaklah kita fahami bahawa ianya adalah pilihan terbaik daripada Allah untuk kita. Akhirat adalah kehidupan yang hakiki, kebaikan di sana tidak ada tukar ganti dengan dunia yang sementara. Allah tidak memaqbulkan sesuatu do'a secara mutlak di dunia kerana Allah Maha Mengetahui segala rahsia kehidupan alam,baik atau buruk di sebalik sesuatu perkara yang kita pohon. Akal kita kadang-kala tidak mampu menjangkau hakikat sesuatu.

Umpamanya, seseorang yang memohon kepada Allah agar diberikan kemewahan yang melimpah, namun Allah tidak menunaikan hajatnya itu, lantas dia merasa diri tidak bernasib baik. Padahal Allah tidak menunaikan hajatnya itu kerana kasih-sayang Allah kepadanya. Allah mengetahui orang ini sekiranya dia berada dalam kemewahan, dia akan lupa kepada Allah maka rugilah kehidupan akhiratnya nanti. Allah ingin menyelamatkannya lalu ditangguh do'a tersebut untuk hari akhirat.

Ini adalah contoh ringkas bagi memudahkan kefahaman pembaca. Oleh itu kepadaNya kita berserah. Bahkan apabila kita berada di alam akhirat nanti, kita akan berasa betapa beruntungnya segala do'a yang tidak dimaqbulkan itu ditangguh untuk diberi ganjaran besar ketika kita dihisab di Mahsyar kelak lalu segala do'a tersebut menjadi penyelamat kita dari keperitan neraka atau pengangkat darjat keistimewaan kita di syurga. Di sana nanti satu persatu do'a yang ditangguh itu ditunaikan dengan cara lebih baik dari yang dijangka oleh seseorang hamba.

Ketiga: Do'a diganti dengan keselamatan diri dari keburukan yang akan mengenainya. Hasilnya, betapa banyak keburukan yang insan terselamat darinya tidak dengan kehebatan atau kebijaksanaannya tetapi rahmat Allah yang barangkali datang hasil dari do'a-do'a kita yang berbagai kepada Allah.

Di samping itu semua, wajar diingatkan, perbuatan berdo'a itu adalah suatu ibadah. Insan dianggap melakukan kebaktian dan ibadah ketika dia berdo'a kepada tuhannya. Sama ada sesuatu do'a dimakbul atau tidak, pahala pasti ada di sisi Allah S.W.T.

Sabda Nabi s.a.w, maksudnya:

"Do'a itu adalah ibadah" (Riwayat al-Tirmizi hadith ke-3372, Abu Daud hadith ke-1479, Ibnu Majah hadith ke-3828. Kata al-Tirmizi: "Hadith ini hasan sahih Kata al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani dalam Ahkam al-Janaiz: Hadith ini sanadnya sahih, seperti apa yang nyatakan oleh al-Hakim dan al-Zahabi. (m.s. 247. Ctk. Riyadh)


Berdasarkan riwayat di atas kita dapat merasai betapa luasnya rahmat Allah. Bukan sahaja insan senantiasa dibuka peluang untuk meminta daripadaNya, bahkan setiap do'a yang dikemukakan dijadikan ibadat iaitu diberi balasan pahala di sisiNya. Demikian Allah Yang Maha Luas rahmatNya bertambah banyak pemohan kita kepadanya bertambah pula kasihNya kepada kita.

Sabda Nabi s.a.w, maksudnya:

"Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah melebihi do'a" (Riwayat al-Tirmizi hadith ke-3370, Ibnu Majah 3829. Kata al-Tirmizi hadith ini `hasan gharib)

Bahkan di sana terdapat dalil-dalil yang begitu banyak yang menggambarkan begitu besarnya kelebihan berdo'a. Ini kerana do'a adalah perlambangan tunduk serta rasa hina diri dan berhajatnya insan kepada pertolongan Allah yang Maha Berkuasa. Oleh itu berdo'alah kita kepadaNya dan jangan berputus asa dari rahmatnya.


Doa Ketika Dalam Kesusahan dan Menghadapi Urusan Penting

لااله الا الله العظيم الحليم. لااله الا الله رب العرش العظيم. لااله الا الله رب السموا ت ورب الارض. رب العرش الكريم.

Tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Besar lagi Maha Penyantun. Tiada Tuhan selain Allah, Tuhan Pemelihara arasy yang agung. Tiada Tuhan selain Allah, Tuhan Pemelihara langit dan Tuhan Pemelihara bumi iaitu Pemelihra arasy.

Ahad, Mei 04, 2008

10 Hadiah Allah Di Dunia Untuk Orang Bertaqwa

Kehidupan orang-orang bertaqwa sangat indah dan penuh keberuntungan. Di dunia lagi Allah telah janjikan pelbagai ‘hadiah’, sebagaimana digambarkan-Nya di dalam al-Quran...
1. Sentiasa mendapat petunjuk. “Mereka itulah (orang-orang bertaqwa) yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beruntung.” (Al-Baqarah: 5)
2. Diberi penyelesaian dari masalah. “Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya akan diberikan kepadanya jalan keluar.” (At-Thalaq: 2)
3. Dipermudah segala urusan. “Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan memudahkan baginya segala urusannya.” (At-Thalaq: 4)
4. Mendapat rezeki dari sumber tidak terduga.“… dan memberinya (orang bertaqwa) rezeki dari sumber yang tidak terduga.” (At-Thalaq: 3)
5. Dikasihi Allah (dengan itu turut dikasihi malaikat dan manusia) “Sesungguhnya Allah menghasihi orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran: 76)
6. Mendapat keberkatan dari langit dan bumi. “Jika seluruh penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi.” (Al-A’raf: 96)
7. Mendapat keselamatan, pertolongan dan perlindungan dari Allah. “Dan kami selamatkan orang-orang beriman dan mereka adalah orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Fussilat: 18)“… dan bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah Allah berserta (menolong dan melindungi) orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah: 194)
8. Mendapat kemenangan. “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa mendapat kemenangan.” (An-Naba: 31)9. Terpelihara dari tipu daya musuh. “Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu.” (Ali Imran: 120)
10. Diberikan ‘furqan’ (petunjuk untuk membezakan yang benar dan salah) “Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu Furqan.” (Al-Anfal: 29)

Sabtu, Mei 03, 2008

Keutamaan Taat Kepada Allah

Kebahagiaan yang paling bahagia ialah panjang umur dalam ketaatan kepada Allah.

Di antara wahyu Allah kapada Nabi Daud a.s.: "Tiada seorang hamba taat kepada Ku melainkan Aku memberinya sebelum ia minta, dan mengabulkan permohonannya sebelum dia berdoa, dan mengampuni dosanya sebelum dia mohon pengampunan (istighfar)."

Barangsiapa mencari keredhaan manusia dengan apa yang memurkakan Allah, maka orang-orang yang tadinya memuji akan berubah mencelanya. Namun barangsiapa mengutamakan ketaatan kepada Allah, meskipun berakibat orang-orang menjadi marah kepadanya maka cukuplah Allah yang menjadi penolong dan pembelanya dalam menghadapi permusuhan tiap musuh, kedengkian tiap pendengki dan kezaliman tiap orang zalim.

Tidak ada ketaatan kepada orang yang tidak taat kepada Allah.

10 KEWAJIPAN MEMELIHARA AMALAN

1. Ikhlas dalam beramal
2. Ikhlas dalam memohon pahala kepada Allah SWT
3. Menyerahkan segala amalan kepada Allah SWT
4. Penuh keikhlasan
5. Menjaga diri, jangan sampai menyakiti orang lain
6. Membulatkan tekad
7. Mengingati kebaikan dan jasa Allah
8. Mempergunakan taufik Allah
9. Mengagungkan taufik Allah
10.Semata-mata takut kepada Allah

Bila Waktu Telah Berakhir



Kejarlah harta kemewahan
Ia akan hilang dan habis dibelanjakan
Kejarlah pangkat dan jawatan
Ia akan hilang bila kita diberhentikan
Kejarlah populariti dan keglamouran
Ia akan hilang bila kita dilupakan
Sebaliknya kejarlah amal soleh, redha dan cinta Ilahi
Agar menjadi bekalan untuk akhirat sana

Bangga akan dunia yang sementara?
Tiada yang kekal

Semua akan pergi meninggalkan
Atau ditinggalkan

Hidup ini umpama meniti di atas dahan rapuh
Hanya menanti masa untuk patah dan jatuh

Bila sampai masanya
Nasib kita seperti pohon kering

Akan dipanggil menghadap Nya

Tidak akan ada peluang kedua
Untuk kita kembali ke dunia

Dunia dipenuhi dengan hiasan
Semua... dan segala yang ada
Akan kembali kepada Nya

Bila waktu telah memanggil
Teman sejati hanyalah amal
Bila waktu telah terhenti
Teman sejati tinggallah sepi

Ya Allah Ya Tuhan kami
Hidupkan kami dengan iman
Matikan kami dengan iman
Kumpulkan kami dengan iman
Dan masukkan kami ke Jannah Mu dengan iman