Sabtu, November 29, 2008

Mencapai Darjat Kesempurnaan

Hadith :
Dari Nu’aim bin Abdullah r.a katanya, dia melihat Abu Hurairah berwudhuk. Dia mencuci muka dan tangannya hingga sampai ke batas bahu. Kemudian dicucinya kedua kakinya hingga sampai ke betis. Sesudah itu dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Sesungguhnya umatku akan datang kelak di hari kiamat bercahaya-cahaya wudhuknya. Maka siapa yang dapat melebihi batas-batas yang wajib, lebihkanlah”

(Muslim)


Huraian

1. Salah satu syarat sah sembahyang ialah mengambil wudhuk. Dengan wudhuk yang sempurna seseorang akan dapat mengerjakan solat/sembahyang dengan penuh khusyuk.

2. Ketika berwudhuk kita diharuskan membaca doa-doa yang tertentu seperti berikut:

i. Ketika berkumur, berniatlah: "Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini".

ii. Ketika membasuh muka, berniatlah:"Ya Allah, putihkanlah (berikanlah cahaya) pada mukaku di akhirat kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini".

iii. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah:"Ya Allah, berikanlah buku hisab ku di tangan kanan ku ini".

iv. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah:"Ya Allah, janganlah Kau berikan buku hisabku di tangan kiri ku ini".

v. Ketika membasuh kepala, berniatlah:"Ya Allah, lindunglah aku dari terik matahari di padang Mahsyar dengan Arasy Mu".

vi. Ketika membasuh telinga, berniatlah:"Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini".

vii. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah:"Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratal Mustaqim".

viii. Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah:"Ya Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat-tempat maksiat".

3. Berwudhuk tidak sahaja diperlukan ketika hendak mengerjakan solat tetapi kita juga disarankan agar berwudhuk apabila hendak membaca al-Quran, mempelajari sesuatu ilmu dan ketika hendak masuk tidur kerana sesungguhnya wudhuk itu dapat menggugurkan dosa-dosa kecil yang dilakukan dan menjadikan seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan bersih di samping menambah keserian wajah.

Wallahu a'lam.

Sabtu, November 22, 2008

Kategori Manusia dan Ilmu


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Al-Khalil bin Ahmad mengkategorikan manusia kepada 4 jenis, iaitu:
  1. Manusia yang tahu dan ia mengetahui bahawa ia mengetahui. Maka itulah orang alim dan ikutilah dia.

  2. Manusia yang tahu dan ia tidak mengetahui bahawa ia mengetahui. Maka itulah orang yang tidur dan bangunkanlah dia.

  3. Manusia yang tidak tahu dan ia tahu bahawa ia tidak mengetahui. Maka itulah orang yang memerlukan bimbingan dan ajarilah dia.

  4. Manusia yang tidak tahu dan ia tidak tahu bahawa ia tidak mengetahui. Maka itulah orang yang bodoh dan waspadalah terhadapnya.

Kategori manakah kita sebenarnya? Maka sebab itulah Nabi s.a.w. bersabda, "Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China." Menuntut ilmu tidak membataskan usia. Sama ada usia muda atau tua. Sumber ilmu juga tiada batasan. Tidak kira ilmu Allah disampaikan melalui lidah atau tingkah laku seorang yang lebih muda daripada kita atau yang lebih tua daripada kita. Soalnya, apakah kita mahu atau tidak mencari ilmu.

Pesan guru Imam Syafi'i kepada anak muridnya itu, "Ilmu itu cahaya. Cahaya tidak akan masuk ke dalam hati yang kotor." Bagaimana pula hati boleh menjadi kotor?

  • Banyak melakukan maksiat.

  • Cinta kepada dunia yang berlebihan sehingga tiada persiapan untuk akhirat.

  • Meninggalkan suruhan Allah.

  • Banyak memakan makanan dari sumber yang tidak halal dan syubhah.
Dato' Dr. Fadzillah Kamsah menggariskan beberapa cadangan untuk kita membersihkan hati. Antaranya:
  • Banyak mengingati mati dan membuat persiapan untuknya

  • Memaafkan orang lain sebelum tidur

  • Selalu meminta maaf dari orang

  • Memperbanyakkan solat taubat dan istighfar sekurang-kurangnya 70 kali setiap hari atau sebaik-baiknya 100 kali setiap hari.
Nah, saudara-saudaraku...peluang masih ada. Cuma hati kita mahu atau tidak. Beruntunglah sesiapa yang diberi peringatan oleh Allah dan ia mengambil iktibar daripadanya. Perbanyakkanlah berdoa kepada Allah supaya diberi hati yang taat kepada suruhanNya dan dijauhi dari hati yang lalai.

والله اعلم


Khamis, November 20, 2008


SEDEKAH

Bila disebut perkataan sedekah, tergambar di fikiran kebanyakan umat Islam tentang suatu aktiviti yang melibatkan pengeluaran harta benda untuk diserahkan kepada orang lain bagi tujuan membantu secara sukarela. Sedekah seringkali dikaitkan dengan material mungkin kerana istilah yang biasa digunakan oleh masyarakat seperti ‘memberi sedekah’ dan ‘peminta sedekah’ yang melambangkan satu pemberian dan penerimaan barangan.

Sedekah kurang mendapat perhatian di kalangan sesetengah masyarakat Islam untuk dijadikan satu amal soleh kerana pada mereka ianya melibatkan harta benda. Sudah menjadi lumrah manusia yang amat mencintai agama dan kerana itulah Allah menjadikan harta itu salah satu ujian untuk manusia. Satu aspek lain yang mungkin menjadikan sebahagian umat Islam hari ini agak keberatan untuk bersedekah kerana menganggap amalan sedekah itu kurang pahalanya, jika dibandingkan dengan amalan-amalan lain seperti sembahyang, puasa dan seumpamanya.

Sebenarnya kalau umat Islam menyedari hakikat dan pengertian sedekah itu sendiri sudah tentu masing-masing akan menghormati peranan sedekah dan sudah tentu berlumba-lumba untuknya. Jika diteliti dalam al-Quran ataupun hadith-hadith nabi, kita akan bertemu dengan banyak keterangan berhubung dengan sedekah. Boleh dikatakan amalan sedekah ini merupakan amalan yang paling banyak cabangnya kerana ia mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan semua ibadat-ibadat lain.

Hubungan sedekah dengan amalan-amalan lain memang jelas kerana sedekah itu sendiri akan mengiringi ibadat lain. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menjadikan anak Adam itu sebanyak 360 ruas tulang. Sesiapa yang bertakbir, bertahmid, bertahlil, bertasbih, beristighfar kepada Allah dan membuang batu, duri atau tulang dari mengganggu tempat lalu lalang manusia atau menyeru melakukan kebaikan atau melarang daripada melakukan perkara mungkar sebanyak 360 kali, maka sesungguhnya ketika itu dia telah berusaha untuk menyelamatkan dirinya daripada api neraka” (riwayat Muslim). Ini memberi erti bahawa sedekah itu tidak hanya tertumpu kepada harta benda semata-mata, malah ianya mempunyai pengertian yang sangat luas mencakupi semua bidang kehidupan.

Amalan sedekah juga amat mudah dilakukan sekiranya umat Islam mengetahuinya. Mungkin sesetengah umat Islam merasa sukar untuk bersedekah kerana tidak mempunyai harta. Namun Islam telah membekalkan pelbagai alternatif untuk semua peringkat umat Islam agar mereka mampu bersedekah kerana Islam adalah sebuah agama yang praktikal dan adil dalam menetapkan sesuatu ibadat agar pahalanya dapat dirasai oleh semua orang yang mahu mendapatkannya. Kalaulah Allah hanya menetapkan sedekah itu dalam bentuk harta benda sahaja sudah tentu golongan umat Islam yang miskin tidak akan menikmati pahala sedekah sepanjang hidup mereka.

Pernah berlaku dalam satu peristiwa di mana seorang lelaki yang mengembara di padang pasir merasa amat dahaga dan beliau terjumpa sebuah perigi. Untuk meminum air tersebut lelaki berkenaan terpaksa turun ke dalam perigi kerana tidak mempunyai timba. Setelah puas menikmati kesegaran air perigi, lelaki itu naik ke atas semula dan mendapati seekor anjing sedang mundar-mandir di tepi perigi dalam keadaan terjelir-jelir kedahagaan. Lelaki itu kasihan melihat anjing tersebut dan turun sekali lagi bagi mendapatkan air untuknya. Oleh kerana ketiadaan timba, dia menggunakan kasutnya sebagai timba. Kesukarannya untuk menaiki tebing perigi memaksa lelaki itu membawa kasut yang berisi air itu dengan mulutnya. Beliau puas setelah melihat anjing itu dapat menikmati air dan merasakan bahawa sudah tentu anjing itu merasa dahaga sepertimana dia sebelum menemui perigi tadi.

Dalam kisah ini, Rasulullah telah memberitahu para sahabat bahawa Allah telah memberi ganjaran syurga kepada lelaki itu kerana apa yang dilakukan itu ialah sedekah yang ikhlas meskipun ia hanya membantu anjing.

Memang menjadi tanggapan ramai bahawa setiap amalan yang besar mempunyai ganjaran yang besar. Islam tidak menafikan hakikat ini tetapi Islam tidak membenarkan umatnya memandang remeh kepada satu amalan yang kecil kerana berkemungkinan dengan amalan yang dianggap kecil itu mempunyai pahala yang sangat besar. Dalam konteks ini Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu memperkecil-kecilkan kebaikan walaupun sedikit. Sekalipun engkau menemui saudaramu dengan wajah yang berseri-seri” (riwayat Muslim). Jelaslah di sini bahawa dengan menunjukkan wajah yang ceria kepada rakan-rakan juga dianggap sedekah.

Di dalam bidang pekerjaan pula, banyak ciri-ciri sedekah yang akan diperolehi sama ada ianya secara lansung atau tidak lansung. Kita mengambil contoh seorang petani yang menanam sepohon pokok buah-buahan. Selain daripada keringat yang keluar sewaktu menanam itu dianggap sedekah, andainya pokok itu berbuah dan buah itu dimakan oleh manusia atau binatang, juga dianggap sedekah malah kalau buah itu dicuri orang sekalipun ia masih dikira sebagai sedekah.

Sesungguhnya Allah S.W.T. sentiasa memberi galakan dalam melakukan apa saja perbuatan walaupun ianya dianggap remeh. Firman Allah: ‘Dan ingatlah, apa jua yang kamu lakukan dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya)’ (Surah al-Baqarah, ayat: 215). Firman Allah lagi: ‘Maka sesiapa yang membuat kebajikan sebesar zarah sekalipun, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya)’ (Surah al-Zalzalah, ayat: 7).

Sebenarnya masih terlalu banyak ruang-ruang sedekah yang boleh kita lakukan kerana sedekah itu sendiri mempunyai 1001 macam cabang yang tidak dapat disenaraikan disini. Bagaimanapun sebagai kesimpulan dapatlah kita menghayati sepotong hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: ‘Tiap-tiap hari yang terbit matahari, semua ruas tulang manusia yang bekerja merupakan sedekah, berlaku adil antara dua orang itu sedekah, menolong orang menaiki kenderaan atau mengangkat dan membawa barang-barangnya juga sedekah, perkataan yang baik itu sedekah, setiap langkah dalam perjalanan untuk bersembahyang itu sedekah dan menghindakan sesuatu yang merbahaya di jalan juga dikira sedekah’ (Bukhari dan Muslim).

Lantaran itu kita perlu menghormati ibadat sedekah sekiranya kita benar-benar bertaqwa kepada Allah S.W.T. dan takut kepada azab siksaan Allah S.W.T. di akhirat kelak sebagaimana sabda baginda: ‘ Takutilah kamu akan api neraka sekalipun hanya dengan (bersedekah) sebelah biji tamar’ (Bukhari dan Muslim).