Khamis, Jun 03, 2010

Awas Daripada Muflis di Akhirat

"Adakah kamu semua mengetahui siapakah orang yang muflis?" Sebagaimana biasa, salah satu teknik didikan Rasulullah s.a.w. adalah dengan komunikasi dua hala iaitu dengan mengemukakan persoalan, diikuti penjelasan Baginda kepada persoalan tersebut.

Para sahabat menjawab, "Muflis dalam fahaman kami ialah orang yang tidak berduit dan tidak memiliki sebarang harta (aset)." Jawapan tersebut adalah berdasarkan kefahaman umum masyarakat ketika itu dengan kalimah muflis. Bahkan pada zaman sekarang, apabila disebut kalimah muflis, maka yang terlintas di dalam fikiran kita ialah seseorang yang tiada duit dan harta serta memiliki hutang (liabiliti) yang tidak mampu dibayar.

Lantas Rasulullah s.a.w. menerangkan apakah pengertian muflis yang dimaksudkan. Baginda bersabda yang bermaksud: “Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah seseorang yang dibangkitkan di akhirat kelak bersama-sama dengan pahala solat, puasa dan zakat yang pernah dilakukan semasa di dunia. Namun pada masa yang sama, dia juga membawa dosa memaki hamun orang lain, memfitnah, memakan harta orang, menumpahkan darah dan memukul orang. Waktu perbicaraan di hadapan Allah, diambil pahalanya (si muflis) dan dibayar kepada mangsa-mangsa tersebut. Dan sekiranya telah habis pahalanya, diambil pula dosa-dosa mangsanya, lalu dibebankan kepada si muflis. Kemudian dia dihumbankan ke neraka!” (Riwayat Abu Hurairah)

Modal, Liabiliti

Modal yang dibawa ke akhirat kelak tidaklah terhad kepada tiga jenis pahala yang disebut di dalam hadis ini sahaja. Bahkan menurut Ibn “Allan al-Syafii’i dalam kitabnya, Dalil al-Falihin, juga termasuk pahala amalan soleh yang lain. Ini bermakna, segala kira bicara di akhirat kelak adalah berdasarkan “mata wang dosa pahala”.

Ketika itu nilai ringgit sudah tidak laku, begitu juga riyal, dolar dan sebagainya. Manusia yang besar modal pahalanya, dia akan bergembira dan bersenang-lenang. Manakala yang kekurangan modal, pasti tercari-cari tempat bergantung yang pasti tiada lagi. Bertambah malang lagi apabila modal yang sedikit terpaksa dibayar kepada manusia lain yang pernah menjadi mangsanya di dunia dahulu.

Apakah yang terjadi apabila tiba-tiba dia kehabisan modal, sedangkan hutang yang dituntut masih belum selesai? Maka ketika itu dia dipaksa pula oleh malaikat untuk memikul dosa mangsanya. Sahlah, dia telah muflis!

Dosa kepada Manusia

Apabila ditilik kembali kelima-lima dosa yang menjadi liabiliti di akhirat kelak, semuanya berkait rapat dengan hubungan sesama manusia. Memaki hamun orang lain seperti pekerja, orang bawahan, orang miskin, orang yang lemah, apatah lagi isterinya atau orang yang lebih tua, hanya mampu memberikan kepuasan sementara kepada seseorang, tetapi bahananya menanti di akhirat kelak. Begitu juga pemfitnah, dia begitu seronok melihat mangsa fitnahnya dibenci masyarakat, atau dikenakan tindakan tertentu di dunia, tetapi dia pasti menyesal apabila diminta membayar pahalanya kepada mangsa fitnah tersebut. Menyesal ketika itu sudah tiada manfaatnya. Bak kata pepatah Melayu, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.”

Ada juga yang memakan harta orang lain dengan cara yang tidak diredhai agama seperti menipu, pecah amanah, mencuri, menafikan hak orang lain, merampas dan sebagainya. Mereka begitu licik ketika di dunia ini tetapi ke manakah tempat untuk bersembunyi apabila berhadapan dengan Hakim Yang Maha Adil kelak!

Begitu juga para samseng yang memukul dan melukakan orang lain, bersedialah berhadapan dengan mangsa-mangsa anda di mahkamah Allah s.w.t. nanti. Kekuatan dan ruang di dunia ini hanya sementara, tetapi ingatlah bahawa doa manusia yang dizalimi tiada hijab di hadapan Allah. Doa mereka mudah dikabulkan.

Bagaimana Mengelak Jadi Muflis?

Ada dua pilihan sahaja untuk mengelakkan diri daripada diisytiharkan muflis di akhirat. Sama ada tidak melakukan dosa terhadap manusia lain atau sekiranya telah melakukannya, mestilah memohon maaf dan redha daripada mangsa ketika di dunia lagi. Biarlah bersusah payah dan menahan malu ketika di dunia ini lebih baik daripada diisytiharkan muflis di akhirat.

Sedarlah seseorang yang diisytiharkan bankrap di dunia, mereka masih ada kawan-kawan atau sanak-saudara yang boleh memberi modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan, tetapi apabila Allah yang telah mengisytiharkan muflis di akhirat, ke manakah lagi hala tuju kita, melainkan neraka...sebagaimana yang diungkap oleh Rasulullah s.a.w.

Ingatlah dosa memaki hamun, memfitnah, mencaci hanya terhapus dengan cara memohon maaf daripada orang yang dimakinya. Begitu juga dengan memukul dan melukakan orang, Islam memberi hak qisas (balas balik) kepada yang menjadi mangsa. Perbuatan fitnah pula disyaratkan memohon maaf dan mengisytiharkan kepalsuan fitnah tersebut.

Dan dosa kelima iaitu memakan harta orang, dia mestilah memulangkan balik nilai harta tersebut atau mendapatkan redha mangsa. Mampukah kita lakukan semua itu? Jika tidak, jangan buat dosa.


(Artikel dipetik daripada Solusi Isu 20)