Selasa, Ogos 24, 2010

Kepentingan Berdoa


Mengekalkan Hubungan dengan Allah Setiap Masa

Doa sebenarnya adalah zikir, iaitu tanda kita mengingati Allah dan interaksi kita dengan Allah. Allah memerintahkan kita mengingatiNya pada setiap masa kerana dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.

Orang yang sering berdoa tidak akan dilanda stres yang melampau dan kemurungan dalam hidup. Hal ini kerana talian hayatnya sentiasa bersambung dengan Allah, apatah lagi ketika dia memerlukan pertolongan.

Keupayaan Melakukan Perubahan ke Arah Kebaikan Secara Berterusan

Manusia perlu sentiasa berubah – daripada kurang baik kepada baik. Daripada baik kepada yang lebih baik (cemerlang). Hidup orang yang berjaya sentiasa lebih baik daripada sebelumnya. Sama ada kebaikan itu berkait dengan Allah mahupun yang berkait dengan manusia.
Doa itu harapan. Doa adalah satu kunci menggamit pertolongan Allah untuk melaksanakan perubahan yang dimaksudkan. Manakala usaha adalah langkah untuk merealisasikan harapan itu. Dengan berdoa kita mengharapkan sebaik takdir. Dengan berusaha kita melaksanakan sebaik tadbir. Apabila bergabung tadbir dan takdir yang baik, insya-Allah kita akan berubah ke arah yang lebih baik.

Didampingi oleh Malaikat dan Menghalau Syaitan

Dalam mengharungi kehidupan ini, sentiasa ada makhluk lain yang mendampingi dan mengiringi kita. Maka apabila kita tidak berdoa, ia dengan mudah merosakkan malah mengganggu kehidupan kita. Sebagai contoh, apabila kita makan dengan tidak menyebut nama Allah dan berdoa, dengan mudah syaitan makan bersama-sama kita.

Apabila kita berdoa, malaikat akan mendampingi kita dan akan memberi sarana atau input yang baik-baik ke dalam hati kita. Kesannya, manusia yang sentiasa didampingi malaikat akan lebih terkawal kata-kata, pertimbangan, keputusan dan tindakan dalam hidupnya.

Membentangkan Masalah dengan Jelas dan Tuntas

Doa adalah langkah pertama untuk menyelesaikan sebarang masalah. Doa secara tidak langsung adalah cara kita membentangkan masalah kita untuk diselesaikan. Malangnya, ramai orang yang hanya gelisah tidak tentu arah apabila ditimpa masalah. Mereka hilang arah atau tidak tahu pun apa masalah mereka yang sebenar.

Doa menolong kita menukarkan masalah ke dalam bentuk perkataan. Dengan berdoa, masalahnya yang asalnya kabur dan samar menjadi jelasa dan terang. Seolah-olah kita berkata-kata dengan Allah.

Justeru, semasa kita bermohon, merayu, mengadu dan meluahkan segala-galanya kepada Allah, kata-kata kita semasa itu seperti membentangkan masalah kita ke hadapan-Nya. Ini akan memberi kelegaan, malah masalah itu sudah menjadi separuh selesai.

Melahirkan Rasa Berkongsi Menghadapi Sebarang Kebuntuan

Adakalanya masalah kita terlalu personal yang membuat kita rasa malu untuk berkongsi dengan orang lain. Justeru, dengan berdoa, kita meluahkan rasa yang terpendam di dalam hati dengan Allah. Firman Allah: “Jika hamba-Ku bertanyakan kamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku sentiasa mendengar permohonan doa tatkala mereka berdoa kepada-Ku. Oleh sebab itu, wajarlah mereka sahut seruan-Ku dan beriman dengan-Ku, semoga mereka beroleh petunjuk.” (Al-Baqarah:186)

Berdoa memberikan kita berasa ‘tidak bersendirian” dalam menghadapi sebarang kebuntuan hidup. Kata Prof. Hamka, "Ketika pintu di bumi sudah tertutup segalanya, pintu ke langit sentiasa terbuka!" Maksudnya, apabila manusia tidak boleh lagi diharap mendengar pengaduan kita, Allah sentiasa ada untuk mendengar segala rintihan.

Mengaktifkan Diri untuk Berusaha

Doa adalah langkah pertama dan utama ke arah suatu tindakan. Dengan berdoa, kita sebenarnya telah mengaktifkan minda dan jiwa untuk bertindak. Malah dengan berdoa umpama menyalakan satu jana juasa dalam diri yang akan menghasilkan tenaga yang sangat kuat untuk meledakkan tindakan. Ada saintis yang menyatakan bahawa doa adalah sejenis tenaga. Iaitu sejenis tenaga yang dihasilkan dari dalam diri seseorang hasil berhubung dengan Yang Maha Kuasa. Inilah hikmah mengapa Allah menyuruh kita berdoa. Kita bukan sahaja mendapat kekuatan daripada Allah, malah akan mendapat kekuatan daripada tenaga dalam diri yang telah dikurniakan oleh Allah secara tabii.

(Petikan dari Solusi Isu no. 22)