Sabtu, Disember 24, 2011

Ubat Penyakit Dengki

Sebagaimana Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, "Setiap penyakit itu ada ubatnya, kecuali mati." Hadith Sahih.
Demikian ada segelintir kita mengidap sejenis penyakit hati iaitu penyakit dengki. Orang yang berpenyakit dengki sering merasa iri hati terhadap kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Lebih teruk lagi ia sanggup melakukan perkara-perkara yang boleh menyakitkan atau mendatangkan mudarat kepada orang yang didengkinya. Penyakit dengki yang tidak diubati boleh melarat kepada dendam dan bermacam lagi dosa yang bersangkutan dengannya.

Berikut penawar bagi mengubati penyakit dengki yang melanda jiwa:
  1. Sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah S.W.T. pinjamkan. Biasanya kalau tidak bersyukur nanti ada rasa tidak puas hati bila melihat kejayaan orang lain.
  2. Selalulah melakukan amal soleh dan membantu orang yang memerlukan. Jika diri tidak dibiasakan melakukan amalan soleh, maksiat pula akan bertandang di dalam hati.
  3. Perlu diingat setiap masa bahawa rasa dengki itu akan merosakkan amal kebajikan seperti api memakan kayu kering. Jika kita tidak berfikir sebegitu, nanti lebih suka membuat maksiat daripada amal kebajikan.
  4. Tekun dan berusaha mencari rezeki yang halal. Apabila kita berusaha mendapatkan rezeki yang halal, ia dapat membentengi diri dari terjerumus ke lembah dosa dan maksiat.
  5. Berbaik sangka terhadap orang lain dalam setiap tindakan. Sifat ini dapat menghindari kita daripada berperasaan syak wasangka terhadap orang lain yang akan merosakkan hati. Sikap buruk sangka juga menyebabkan orang menjauhi kita.
  6. Selalulah mengikat silaturrahim dan saling bantu-membantu antara satu sama lain. Jika tali silaturrahim disambungkan, akan bertambahlah saudara kita dan banyak perkara dapat menjadi mudah dengan adanya perhubungan silaturrahim yang baik.
  7. Sentiasa menjaga perkataan dan perbuatan daripada menyinggung perasaan orang lain. Sopan santun dan menjaga hati dan perasaan orang lain boleh mendatangkan perasaan kasih sayang di kalangan rakan dan saudara mara.
Maka, untuk membersihkan hati kita perlulah menjauhi penyakit-penyakit hati yang boleh mengundang dosa dan maksiat.