Khamis, Jun 03, 2010

Awas Daripada Muflis di Akhirat

"Adakah kamu semua mengetahui siapakah orang yang muflis?" Sebagaimana biasa, salah satu teknik didikan Rasulullah s.a.w. adalah dengan komunikasi dua hala iaitu dengan mengemukakan persoalan, diikuti penjelasan Baginda kepada persoalan tersebut.

Para sahabat menjawab, "Muflis dalam fahaman kami ialah orang yang tidak berduit dan tidak memiliki sebarang harta (aset)." Jawapan tersebut adalah berdasarkan kefahaman umum masyarakat ketika itu dengan kalimah muflis. Bahkan pada zaman sekarang, apabila disebut kalimah muflis, maka yang terlintas di dalam fikiran kita ialah seseorang yang tiada duit dan harta serta memiliki hutang (liabiliti) yang tidak mampu dibayar.

Lantas Rasulullah s.a.w. menerangkan apakah pengertian muflis yang dimaksudkan. Baginda bersabda yang bermaksud: “Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah seseorang yang dibangkitkan di akhirat kelak bersama-sama dengan pahala solat, puasa dan zakat yang pernah dilakukan semasa di dunia. Namun pada masa yang sama, dia juga membawa dosa memaki hamun orang lain, memfitnah, memakan harta orang, menumpahkan darah dan memukul orang. Waktu perbicaraan di hadapan Allah, diambil pahalanya (si muflis) dan dibayar kepada mangsa-mangsa tersebut. Dan sekiranya telah habis pahalanya, diambil pula dosa-dosa mangsanya, lalu dibebankan kepada si muflis. Kemudian dia dihumbankan ke neraka!” (Riwayat Abu Hurairah)

Modal, Liabiliti

Modal yang dibawa ke akhirat kelak tidaklah terhad kepada tiga jenis pahala yang disebut di dalam hadis ini sahaja. Bahkan menurut Ibn “Allan al-Syafii’i dalam kitabnya, Dalil al-Falihin, juga termasuk pahala amalan soleh yang lain. Ini bermakna, segala kira bicara di akhirat kelak adalah berdasarkan “mata wang dosa pahala”.

Ketika itu nilai ringgit sudah tidak laku, begitu juga riyal, dolar dan sebagainya. Manusia yang besar modal pahalanya, dia akan bergembira dan bersenang-lenang. Manakala yang kekurangan modal, pasti tercari-cari tempat bergantung yang pasti tiada lagi. Bertambah malang lagi apabila modal yang sedikit terpaksa dibayar kepada manusia lain yang pernah menjadi mangsanya di dunia dahulu.

Apakah yang terjadi apabila tiba-tiba dia kehabisan modal, sedangkan hutang yang dituntut masih belum selesai? Maka ketika itu dia dipaksa pula oleh malaikat untuk memikul dosa mangsanya. Sahlah, dia telah muflis!

Dosa kepada Manusia

Apabila ditilik kembali kelima-lima dosa yang menjadi liabiliti di akhirat kelak, semuanya berkait rapat dengan hubungan sesama manusia. Memaki hamun orang lain seperti pekerja, orang bawahan, orang miskin, orang yang lemah, apatah lagi isterinya atau orang yang lebih tua, hanya mampu memberikan kepuasan sementara kepada seseorang, tetapi bahananya menanti di akhirat kelak. Begitu juga pemfitnah, dia begitu seronok melihat mangsa fitnahnya dibenci masyarakat, atau dikenakan tindakan tertentu di dunia, tetapi dia pasti menyesal apabila diminta membayar pahalanya kepada mangsa fitnah tersebut. Menyesal ketika itu sudah tiada manfaatnya. Bak kata pepatah Melayu, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.”

Ada juga yang memakan harta orang lain dengan cara yang tidak diredhai agama seperti menipu, pecah amanah, mencuri, menafikan hak orang lain, merampas dan sebagainya. Mereka begitu licik ketika di dunia ini tetapi ke manakah tempat untuk bersembunyi apabila berhadapan dengan Hakim Yang Maha Adil kelak!

Begitu juga para samseng yang memukul dan melukakan orang lain, bersedialah berhadapan dengan mangsa-mangsa anda di mahkamah Allah s.w.t. nanti. Kekuatan dan ruang di dunia ini hanya sementara, tetapi ingatlah bahawa doa manusia yang dizalimi tiada hijab di hadapan Allah. Doa mereka mudah dikabulkan.

Bagaimana Mengelak Jadi Muflis?

Ada dua pilihan sahaja untuk mengelakkan diri daripada diisytiharkan muflis di akhirat. Sama ada tidak melakukan dosa terhadap manusia lain atau sekiranya telah melakukannya, mestilah memohon maaf dan redha daripada mangsa ketika di dunia lagi. Biarlah bersusah payah dan menahan malu ketika di dunia ini lebih baik daripada diisytiharkan muflis di akhirat.

Sedarlah seseorang yang diisytiharkan bankrap di dunia, mereka masih ada kawan-kawan atau sanak-saudara yang boleh memberi modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan, tetapi apabila Allah yang telah mengisytiharkan muflis di akhirat, ke manakah lagi hala tuju kita, melainkan neraka...sebagaimana yang diungkap oleh Rasulullah s.a.w.

Ingatlah dosa memaki hamun, memfitnah, mencaci hanya terhapus dengan cara memohon maaf daripada orang yang dimakinya. Begitu juga dengan memukul dan melukakan orang, Islam memberi hak qisas (balas balik) kepada yang menjadi mangsa. Perbuatan fitnah pula disyaratkan memohon maaf dan mengisytiharkan kepalsuan fitnah tersebut.

Dan dosa kelima iaitu memakan harta orang, dia mestilah memulangkan balik nilai harta tersebut atau mendapatkan redha mangsa. Mampukah kita lakukan semua itu? Jika tidak, jangan buat dosa.


(Artikel dipetik daripada Solusi Isu 20)

Sabtu, April 17, 2010

APA ITU FLUORIDA?

Fluorida merupakan sisa keluaran industri baja, sejenis racun tikus dan digunakan dalam sektor industri sebagai racun serangga untuk menghapuskan semut dan lipas. Fluorida merupakan racun tersembunyi (seperti sianida) yang memudaratkan, bertoksik dan mampu berkumpul sungguhpun hanya sedikit ditelan.

MENGAPA FLUORIDA BERBAHAYA?

Pentadbiran Makanan & Ubatan Amerika (FDA) menganggap fluorida sebagai "ubat baru yang tidak diluluskan" kerana tidak ada bukti mengenai keselamatan mahupun keberkesanannya.Sesetengah kumpulan berkepentingan awam seperti Akademi Antarabangsa Bagi Ubatan, Makanan & Toksikologi (pertubuhan bukan kerajaan Kanada yang membiayai penyelidikan mengenai bahan bertoksik yang digunakan dalam pergigian) telah mengkelaskan fluorida sebagai "ubat untuk pergigian yang tidak diluluskan" disebabkan kadar keracunannya tinggi.Satu tinjauan yang dijalankan pada tahun 1997 dengan bantuan pengeluar ubat gigi dan Persatuan Pergigian Amerika Syarikat mendapati purata orang yang memberus gigi dengan ubat gigi berfluorida walaupun sedikit (1 gram) mengikut sukatan yang disarankan, menelan antara 0.3-0.4 mg fluorida setiap kali memberus gigi.Ini bermakna anda menerima hampir separuh daripada kadar harian fluorida yang diterima cuma dengan memberus sekali sehari, tanpa membabitkan sumber lain.

MENGAPA KITA TIDAK MEMERLUKAN FLUORIDA PADA UBAT GIGI?

Dos fluorida harian yang diterima melalui pemakanan sudah mencukupi keperluan seseorang. Pihak berkuasa di Malaysia telah menambahkan fluorida kedalam sistem bekalan pengairan dan oleh sebab yang demikian, setiap titis air dalam bentuk teh, kopi, minuman berais dan sebagainya menyumbang kepada penambahan fluorida sedia ada. Makanan harian seperti sayuran juga terdedah kepada fluorida melalui racun serangga dan lain-lain. Fluorida juga terdapat pada tulang ikan seperti ikan bilis dan sardin. Sebagai rumusan, makanan lazim harian telah membekalkan sumber fluorida yang mencukupi untuk keperluan kita. Oleh sebab yang demikian, kita tidak lagi memerlukan tambahan fluorida melalui ubat gigi atau ubat kumur dan ini akan mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan seseorang itu.

KES MAHKAMAH

Kesan-kesan buruk fluorida pada masa lalu pernah dibawa ke mahkamah. Apa yang dipercayai merupakan yang pertama. Colgate-Palmolive membayar pampasan sebanyak £1,000 (kini dianggarkan kira-kira RM 6,000) kepada keluarga seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di Essex, England yang menderitai masalah "Dental Fluorosis" (enamel kotor dan berkarat), iaitu antara tanda pertama keracunan fluorida.

PENYELIDIKAN AWAM

Penyelidikan yang dijalankan pada pertengahan tahun 90-an oleh bekas ketua bahagian kimia Institut Penyelidikan Kanser Kebangsaan Amerika, mendapati kira-kira 10,000 kematian akibat kanser yang dikaitkan dengan penggunaan fluorida berlaku setiap tahun di Amerika Syarikat.Penyelidikan yang dijalankan di Amerika Syarikat bagi Program Toksikologi Kebangsaan (NTP) pada tahun 1990-1991 menunjukkan kecenderungan peningkatan dalam osteosarkoma (salah satu kanser peringkat awal yang menyerang kanak-kanak) dalam tikus jantan yang diberikan fluorida. Menurut NTP, fluorida berkemungkinan bahan penyebab kanser kepada manusia."

AMARAN & PANDUAN

Pada tahun 1997, FDA telah menetapkan setiap Ubat gigi berfluorida yang dijual di Amerika Syarikat perlu meletakkan tanda amaran racun/bahaya:

"WARNING: KEEP OUT OF REACH OF CHILDREN UNDER 6 YEARS OF AGE. IF YOU ACCIDENTALLY SWALLOW MORE THAN USED FOR BRUSHING, SEEK PROFESSIONAL HELP OR CONTACT A POISON CONTROL CENTER IMMEDIATELY."/“AMARAN: JAUHKAN DARI KANAK-KANAK BERUMUR 6 TAHUN KEBAWAH, SEKIRANYA TERTELAN MELEBIHI DOS YANG DITETAPKAN, SILA DAPATKAN RAWATAN PAKAR ATAU HUBUNGI PUSAT KAWALAN RACUN DENGAN SEGERA”

FLUORIDA MAMPU MENYEBABKAN:

- Kematian
- Kanser
- Ruam Kulit
- Luka Kanser
- Kelunturan Warna Gigi
- Masalah Gastrik
- Penyebab atau Membantu Menyebabkan Kerapuhan Tulang
- Keracunan Saraf
- Kanser Tulang
- Keretakan Tulang
- Membantu Menyebabkan Kekurangan IQ di Kalangan Kanak-kanak -
Merangsang Masalah Buah Pinggang di Kalangan Pesakit

BAHAYA KEPADA KANAK-KANAK?

-SEMESTINYA!
Memandangkan fluorida mampu meresap menerusi gusi dan kanak-kanak di bawah usia 7 tahun yang menelan 50% daripada ubat gigi ketika memberusnya (mengikut kajian), dan memandangkan fluorida turut terkandung dalam air dan pelbagai produk lain (seperti ubat kumur), kita terus terdedah kepada risiko kanser apabila memakai ubat gigi berfluorida.

(untuk keterangan lanjut, sila lawati laman web persatuan pengguna islam : http://www.muslimconsumer.org.my/fluorida/ )

Selasa, Januari 19, 2010

Petua Mengatasi Penyakit Lupa

(dipetik daripada Kitab 101 Doa daripada Hadis-Hadis Sahih)

Seringkali kita mengalami masalah lupa atau tidak ingat. Saya sendiri pernah mengalami situasi tersebut di mana baru beberapa minit sahaja, dah tak ingat apa ayat terakhir yang saya katakan. Baru saya tahu yang ia adalah satu penyakit bila saya berjumpa dengan doktor.

Di bawah ini disenaraikan beberapa petua untuk mempertingkat daya ingatan yang disampaikan oleh Ustaz Zahazan Mohamed di dalam kitabnya.
  • Menuntut ilmu secara konsisten. Hadir ke majlis ilmu seperti kuliah, berusrah dan membaca buku-buku ilmiah yang berkualiti.
  • Membiasakan agar menghafaz ayat-ayat Al-Quran, hadis-hadis, kata-kata ulama, fakta-fakta tentang kehidupan dan sya'ir-sya'ir.
  • Bergaul dengan orang-orang cerdik pandai.
  • Mengelakkan memakan makanan yang masam, kepala ikan dan makanan yang dimasuki semut.
  • Menjauhi melihat aurat sendiri secara kerap dan lebih-lebih lagi aurat orang lain.
  • Kerap bersugi. Mulla Ali Al-Qari menerangkan terdapat banyak faedah kayu sugi dan di antaranya dapat mencerahkan mata.
  • Membanyakkan berdoa agar dikurniakan ingatan yang kuat.
  • Melatih diri agar sentiasa fokus dalam apa jua yang dilakukan.
  • Mengambil supplement seperti madu, ginko biloba, kismis dan sebagainya yang menyumbang kepada peningkatan ingatan.
  • Berdamping dengan pakar-pakar perubatan.