Jumaat, April 03, 2009

Hikmah bila diuji dengan kesakitan...

Alhamdulillah Syukran awiy awiy Ya Rabb yang telah menyembuhkan saya dari sakit yang berulang-ulang.

Alhamdulillah saya diberikan sakit untuk mengingatkan betapa agungnya kebesaran Allah yang memberikan sakit dan menyembuhkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Tiada siapa yang menghendaki sakit. Dan saya bersyukur memang banyak hikmahnya diberikan kesakitan ini.

Pertamanya, memang kebanyakan orang akan mengatakan bila kita sakit, banyak kerja kita terhalang untuk melakukannya. Tapi Alhamdulillah bagi saya tidak. Malah saya diberikan keringanan oleh Allah melakukan aktiviti yang biasa dilakukan mengikut kudrat yang saya ada dengan tidak memudaratkan.

Keduanya, saya semakin yakin bahawa inilah kasih sayang Allah kepada hambaNya. Jika kita tidak diuji begini, boleh jadi saya makin ta'asub dengan kesihatan yang ada tanpa memikirkan kesusahan yang ditanggung oleh orang lain.

Dan ketiganya, Alhamdulillah pada ketika sakit, Allah merehatkan tubuh dan pemikiran saya daripada kesibukan tugas yang membataskan waktu untuk bersamaNya. Pada masa inilah saya diberi kesempatan waktu mentelaah kitab-kitab yang 'memanggil-manggil' untuk dibaca, dikaji dan dihayati.

Begitulah nikmatnya kesihatan yang kita hargai hanya bila kita diuji dengan kesakitan. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Kejarlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Iaitu muda sebelum tua, sihat sebelum datangnya sakit, lapang sebelum datangnya sibuk, kaya sebelum miskin, dan hidup sebelum datangnya mati."

Sesetengah kita hanya percaya pada kata-kata doktor bahawa jika terkena penyakit begini...begini...kesannya demikian. Jika memakan ubat ini..anda akan sembuh. Haa....ingat..di situ akidah kita perlu teguh. Jangan sampai kita ta'asub pada kata-kata doktor yang juga makhluk hingga kita lupa bahawa yang memberikan kita sesuatu penyakit dan menyembuhkannya adalah Allah Maha Kuasa. Tersilap pemahaman saja boleh merosak akidah..
Yakin pada Allah bahawa bila Dia mengatakan "Kun Fayakun" akan jadilah!

Di situ letaknya keyakinan yang utuh bahawa kita semua tak akan hidup jika Allah tidak menghendaki. Dan kita tidak pula mati jika Allah belum menentukan kematian kita telah sampai waktunya. Maka berdoalah....kerana itulah senjata kita sebagai hambaNya di samping terus berikhtiar mengusahakan setiap sesuatu.

Semoga setiap kita dibersihkan hatinya ketika menghadap Rabbul 'Alamin.