Rabu, Oktober 21, 2009

Doa Mohon Berlindung dari Kesombongan

Ya Allah, hamba berlindung denganMu dari kesombongan orang yang berkuasa, yang berdiri gagah tanpa rasa malu kerana merasa diri mereka lebih tinggi daripada rakyatnya, padahal rakyatnya itulah yang meletakkan dirinya di kerusi dan membiayai hidup mereka. Namun rakyatnya itu pulalah yang menjadi sasaran dari paluan dan asakkan para penguasa.

Ya Allah, hamba berlindung kepadaMu dari kesombongan orang kaya, yang berjalan acuh tak acuh dan mendongakkan kepalanya kerana merasa dirinya lebih penting dibanding orang-orang lainnya, padahal orang banyak itulah sumber penghidupan dan kekayaannya. Namun orang-orang banyak itu pulalah yang selalu disuruh siap dibeli kehormatannya dengan wang dan harta mereka.

Ya Allah, hamba berlindung kepadaMu dari kesombongan orang-orang pandai yang selalu merasa lebih hebat dari orang lainnya, sehingga ia membuka mulutnya lebar-lebar dan memuntahkan hujan kata-kata yang berasal daripada perasaan pandai dan hebat dalam dirinya, padahal inti kepandaian adalah kesanggupan untuk mendengarkan serta kerendahan hati untuk tidak banyak membuka mulut, dan puncak tertinggi keterpelajaran berbanding tingkat kesedaran adalah kebodohan diri.

Ya Allah, hamba berlindung kepadaMu dari kesombongan orang masyhur yang selalu merasa lebih khusus dibanding orang-orang di sekitarnya yang menyangka bahawa kemasyhuran adalah kelebihan darjat berbanding orang lain, yang mengira bahawa kemasyhuran adalah sama dengan keunggulan dan kehebatan, yang perilakunya bersandarkan "kerana aku masyhur, maka aku hebat", bukan membuktikan bahawa "kerana aku bermanfaat, maka aku (terpaksa) masyhur".

Ya Allah, hamba berlindung kepadaMu dari kesombongan orang-orang alim soleh, yang ke mana-mana sibuk merasa bahawa yang selain dirinya adalah najis, yang tidak punya kemampuan lain kecuali merasa dirinya suci dan selalu benar, yang beranggapan bahawa Tuhan adalah anak buahnya, bahawa para Nabi dan Rasul adalah staf dan bawahannya untuk melaksanakan kepentingan-kepentingan diri dan golongannya.

Sabtu, Oktober 03, 2009

Melakukan Kebaikan Kepada Orang Lain Pasti Menggembirakan Hatimu

Kebaikan.. seistimewa namanya. Kebaikan membawa bersamanya keramahan, kemesraan dan mendatangkan manfaat kepada yang melakukannya. Kemanisan dirasai di dalam jiwa, yang mencerminkan akhlak yang indah dan nurani serta menikmati perasaan lapang dada, ketenangan, ketenteraman dan kedamaian.

Berapa ramai di kalangan kita mampu melakukan kebaikan ketika hati dirundung resah dan gelisah serta melalui kepayahan. Ketahuilah, kebaikan yang diberikan ketika kita menghadapi kesukaran dan kepayahan akan lebih mententeramkan jiwa dan mendamaikan hati. Kerana ia disebut sedekah. Dan Allah menjanjikan ganjaran bagi orang yang memberikan kebaikan apatah lagi ketika kebaikan itu dilakukan ketika ia di dalam kesusahan, ditambah lagi ganjarannya. Bukanlah sukar pun...dengan memberikan senyuman, kita boleh menenangkan hati orang yang mungkin dilanda gelisah. Dengan menghadiahkan segelas air kepada pekerja-pekerja jualan langsung menyebabkan mereka berlapang dada walaupun kita tidak membeli jualannya. Dengan menziarahi rakan kita yang sakit boleh meringankan kesakitan yang ditanggungnya. Dan kesudahan bagi semua itu akan datang kepada diri kita sendiri iaitu ganjaran pahala dari Allah, insya Allah.

Perbuatan baik ibarat minyak wangi. Ia bukan hanya mendatangkan keharuman kepada si pemakainya sahaja. Malah sesiapa yang berada dekat dengannya akan menghidu keharumannya. Dan manfaat psikologi dari kebaikan yang kita lakukan itu dirasakan ibarat ubat yang mujarab yang dapat diperolehi daripada dalam hati orang-orang yang berhati bersih dan mulia.

Menebar senyuman manis kepada orang-orang yang "miskin akhlak" adalah sedekah jariah. Umpamanya, bagi seseorang yang membenci dan memusuhi kita, jika kita hadiahkannya degan senyuman setiap kali berjumpa dengannya. Nescaya kebenciannya itu akan memalukan dirinya sendiri dan akhirnya ia mengalah. Ini kerana kemuraman wajah adalah tanda permusuhan yang sengit terhadap orang lain, yang hanya diketahui oleh Yang Maha Mengetahui Yang Ghaib.

Wahai orang-orang yang merasa terancam oleh kesengsaraan, kecemasan dan kepayahan hidup, kunjungilah taman-taman kebajikan; sibukkan diri dengan memberi, mengunjungi, membantu, menolong dan meringankan beban sesama manusia. Dengan melakukan semua itu, nescaya hidupmu akan merasai kebahagiaan dalam semua keadaan.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

"Sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut dibalas, hanyalah ,mengharapkan keredhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi; dan demi sesungguhnya , ia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya)." (Al-Lail: 19-21)

Usirlah kesengsaraan dan kegundahan hatimu dengan melakukan kebaikan.

Wallahu a'lam.