Rabu, Oktober 21, 2009

Doa Mohon Berlindung dari Kesombongan

Ya Allah, hamba berlindung denganMu dari kesombongan orang yang berkuasa, yang berdiri gagah tanpa rasa malu kerana merasa diri mereka lebih tinggi daripada rakyatnya, padahal rakyatnya itulah yang meletakkan dirinya di kerusi dan membiayai hidup mereka. Namun rakyatnya itu pulalah yang menjadi sasaran dari paluan dan asakkan para penguasa.

Ya Allah, hamba berlindung kepadaMu dari kesombongan orang kaya, yang berjalan acuh tak acuh dan mendongakkan kepalanya kerana merasa dirinya lebih penting dibanding orang-orang lainnya, padahal orang banyak itulah sumber penghidupan dan kekayaannya. Namun orang-orang banyak itu pulalah yang selalu disuruh siap dibeli kehormatannya dengan wang dan harta mereka.

Ya Allah, hamba berlindung kepadaMu dari kesombongan orang-orang pandai yang selalu merasa lebih hebat dari orang lainnya, sehingga ia membuka mulutnya lebar-lebar dan memuntahkan hujan kata-kata yang berasal daripada perasaan pandai dan hebat dalam dirinya, padahal inti kepandaian adalah kesanggupan untuk mendengarkan serta kerendahan hati untuk tidak banyak membuka mulut, dan puncak tertinggi keterpelajaran berbanding tingkat kesedaran adalah kebodohan diri.

Ya Allah, hamba berlindung kepadaMu dari kesombongan orang masyhur yang selalu merasa lebih khusus dibanding orang-orang di sekitarnya yang menyangka bahawa kemasyhuran adalah kelebihan darjat berbanding orang lain, yang mengira bahawa kemasyhuran adalah sama dengan keunggulan dan kehebatan, yang perilakunya bersandarkan "kerana aku masyhur, maka aku hebat", bukan membuktikan bahawa "kerana aku bermanfaat, maka aku (terpaksa) masyhur".

Ya Allah, hamba berlindung kepadaMu dari kesombongan orang-orang alim soleh, yang ke mana-mana sibuk merasa bahawa yang selain dirinya adalah najis, yang tidak punya kemampuan lain kecuali merasa dirinya suci dan selalu benar, yang beranggapan bahawa Tuhan adalah anak buahnya, bahawa para Nabi dan Rasul adalah staf dan bawahannya untuk melaksanakan kepentingan-kepentingan diri dan golongannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan