Khamis, Oktober 23, 2008

Sifat Pemimpin Yang Berhak

DEWASA ini, pihak berkuasa kerajaan kerap kali ingin menonjolkan usaha-usaha yang disempurnakan mereka, sering kali merujuk kepada janji-janji yang telah ditunaikan berbanding pihak pembangkang. Tujuannya adalah bagi memujuk masyarakat umum supaya mengundi pertubuhan siasah yang dianggotai mereka. Mereka yang tersebut bukan ingin menarik perhatian masyarakat umum kepada natijah perjuangan mahupun matlamat kabur sesuatu pertubuhan kerana ianya bukan sahaja tidak penting tetapi tidak lagi berkaitan; yang penting adalah pertempuran semata-mata, seolah-olah menggambarkan suasana puak zaman jahiliah yang tiada matlamat mahupun kabur, hanya perasaan benci dan hasad dengki kepada pihak lawan.

Suasana tersebut, dari mencari jalan penyelesaian dan kesepakatan, sebaliknya menanam benih permusuhan yang tiada bandingnya, yang akhirnya akan membawa kepada kemerosotan, ketidakadilan dan kejahilan yang berterusan. Dalam memilih calon pimpinan yang paling sesuai untuk membawa masyarakat kepada faham serta amalan kebenaran, keadilan dan pembangunan, unsur- utama seseorang pemimpin itu harus rela memikul beban tanggungjawab memimpin, dan seterusnya wajib dipertanggungjawabkan sekiranya amanah tersebut diabaikan.

Sering kali, contoh seseorang pemimpin yang menggambarkan unsur murni yang tersebut di atas ialah Khalifah Umar ibn al-Khattab. Pada suatu hari ketika beliau sibuk dengan kerja-kerja yang mustahak, seorang lelaki datang merapati beliau lalu merayu mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang remeh. Sayidina Umar meletakkan cemeti (rotan) di atas bahu lelaki tersebut lalu berkata, “Apabila saya mengadakan pembicaraan untuk perkara-perkara remeh sebegini kamu tidak muncul, tetapi apabila saya sibuk menjalankan perkara-perkara mustahak, pada masa itulah kamu datang membawa perkara remeh yang mengganggu aliran perjalanan kerja-kerja mustahak saya ini.”

Sebaik sahaja ditegur oleh Sayidina Umar, lelaki tersebut beredar. Tetapi Sayidina Umar menyuruhnya supaya kembali dan memberi lelaki tersebut cemetinya (rotannya) lalu berkata, “Rotanlah saya sebagai keadilan kepada tingkah laku saya itu tadi.”

Lelaki tersebut hanya berkata, “Saya maafkan kamu demi Allah yang Maha Esa.”

Seterusnya Umar pulang ke rumahnya lalu menyempurnakan solat dua rakaat sebagai langkah taubat, dan mula menegur dirinya sambil berkata, “Wahai Umar! Kamu telah dimuliakan oleh Allah. Kamu telah tersalah jalan tetapi Allah telah mengembalikan kamu kepada jalan yang lurus. Kamu telah dipertanggungjawabkan oleh Allah dan diberi kuasa memimpin makhluk Allah. Sekarang datang kepadamu seorang daripada makhluk Allah itu meminta jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapinya, dan kamu memukulnya. Apakah jawapan kamu nanti kepada Allah yang Maha Esa?” Sayidina Umar terus menegur dirinya begini tanpa henti.

Keesokan hari, beliau membuat rondaan biasa berdekatan daerah Harrah yang tidak jauh dari Madinah bersama pembantunya Aslam. Sayidina Umar terlihat sinaran daripada bara api jauh di padang pasir lalu berkata kepada Aslam, “Kemungkinan besar terdapat sebuah kafilah yang tidak dapat memasuki kota ini disebabkan kegelapan malam ini. Ayuh, marilah kita pergi ke sana dan memberi perlindungan kepada mereka.” Apabila beliau berdua sampai ke tapak tersebut, mereka mendapati hanya seorang perempuan bersama sekumpulan kanak-kanak berada di sana. Kanak-kanak tersebut asyik menangis. Perempuan tersebut nampaknya dalam usaha menyediakan makanan kerana terdapat sebuah periuk besi berisi air yang diletakkan di atas api tersebut. Sayidina Umar seterusnya memberi salam dan setelah mendapat persetujuannya menghampiri perempuan tersebut lalu bertanya, “Mengapa kanak-kanak ini asyik menangis?” Perempuan tersebut terus menjawab, “Kerana mereka berasa lapar.”

Sayidina Umar bertanya lagi, “Apa yang akan disediakan dalam periuk itu?” sambil menuding jarinya ke arah periuk besi berisi air yang diletakkan di atas api. Dengan muka pilu perempuan tersebut menjawab, “Hanya air melegakan mereka supaya mereka boleh tidur dengan lena, mempercayai bahawa hidangan makanan akan disediakan untuk mereka. Aduh! Pada hari kiamat kelak, Allah akan mengadili antara saya dan Umar kerana Umar telah tidak mengendahkan saya semasa saya berada dalam kesusahan.”

Perkataan-perkataan perempuan tersebut telah menyebabkan Sayidina Umar menangis. Beliau terus berkata, “Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atasmu saudari. Tetapi bagaimana Umar akan tahu mengenai keadaan saudari?” Perempuan tersebut melihat terus kepada mata Sayidina Umar lalu berkata, “Selagi Umar menjadi Amir beliau harus memahami keadaan orang-orang macam saya ini.”

Dengan kata-kata tersebut Sayidina Umar bergegas kembali ke Madinah dan terus menuju ke Bayt al-Mal lalu mengisi sebuah guni dengan buah tamar, minyak, tepung gandum, pakaian dan sejumlah wang.

Sebaik sahaja guni tersebut diisi dengan penuh, Sayidina Umar berkata kepada pembantunya Aslam, “Tolong letakkan guni ini di atas bahu saya Aslam.”

Aslam terkejut mendengar kata-kata Sayidina Umar lalu berkata, “Tolonglah ya Amir al-Mu‘minin! Saya akan memikul guni ini di atas bahu saya.”

Sayidina Umar langsung tidak mengendahkan rayuan pembantunya Aslam supaya dia diberi guni tersebut untuk dipikul, lalu bertanya, “Apakah kamu akan memikul beban tanggungjawab saya pada hari kiamat? Seharusnya saya memikul guni ini oleh kerana saya akan dipersoalkan pada hari kiamat kelak mengenai perempuan itu.”

Dengan kata-kata itu, Aslam dengan penuh perasaan susah hati meletakkan guni tersebut di atas bahu Sayidina Umar. Beliau dengan pantas membawa guni tersebut ke khemah perempuan tersebut di tengah-tengah padang pasir sementara diiringi oleh pembantunya Aslam. Beliau terus meletakkan sejumlah gandum, buah tamar dan minyak ke dalam periuk besi yang digunakan oleh perempuan itu lalu memasak ramuan-ramuan tersebut.

Beliau meniup bara supaya api dapat dinyalakan semula. Menurut pembantunya Aslam, “Saya nampak dengan mata saya sendiri asap meresapi janggut tebal Sayidina Umar.”

Selepas beberapa ketika, hidangan tersebut telah siap. Sayidina Umar sendiri menghidangkannya kepada keluarga tersebut. Selepas mereka sekeluarga telah kenyang menjamu selera mereka, Sayidina Umar memberi baki hidangan tersebut serta barang-barang di dalam guni kepada mereka. Sekarang kanak-kanak tersebut berasa gembira lalu bermain sesama mereka. Perempuan tersebut juga terasa terhutang budi lalu berkata, “Semoga Allah memberkati saudara atas keprihatinan yang ditunjukkan. Pada hakikatnya, saudaralah yang sepatutnya lebih layak mengambil tempat Khalifah berbanding Umar.” Dengan nada tenang Sayidina Umar berkata, “Apabila saudari datang berjumpa Khalifah, saya akan berada di sana.”

Sayidina Umar terus duduk memperlihatkan gelagat kanak-kanak tersebut, dan selepas beberapa ketika bersiap sedia untuk pulang ke Madinah.

Dalam perjalanan ke Madinah, Sayidina Umar bertanyakan kepada pembantunya Aslam, “Tahukah anda kenapa saya duduk seketika di sana ya Aslam? Selepas melihat mereka semua menangis, saya ingin melihat mereka ketawa dan bergembira buat seketika.”

Kesimpulan daripada riwayat itu tadi menurut Sayidina Umar ibn al-Khattab, “Janganlah menjalin talian persahabatan dengan mereka yang jahil, kerana mereka yang jahil akan membawa kepada bencana dalam pada mencuba membawa manfaat dan pertolongan kepada kamu.” Pilihlah pemimpin menggunakan hikmah kebijaksanaan.

- Diadaptasi daripada artikel DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS, Ketua Pengarah IKIM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan