Sabtu, Disember 13, 2008

Eidul Adha di Seberang

Salaam alaikum...

Alhamdulillah berlalu sudah Eidul Adha sebagai tanda pengorbanan hamba kepada Tuhannya.

Syukurillah eid kali ini saya bertandang di rumah mertua di seberang Sungai Golok. Suami sekeluarga menumbangkan seekor lembu yang sihat dan gagah. Lama juga masa diambil untuk menumbangkan lembu tersebut yang mulanya agak liar. Hitam warnanya, dan cuba menanduk-nanduk orang yang cuba rapat.

Jadi amalan keluarga mertua menumbangkan seekor lembu setiap kali eidul adha. Suami pernah membisikkan di telinga bahawa ibunya memang suka bersedekah kepada penduduk kampung dan saudara-maranya. Maka sebab itulah ia tidak berkira-kira dengan harga seekor lembu, malah menggalakkan anak dan menantunya turut serta melakukan ibadah korban.

Selepas siap dilapah, saya mengikut suami mengagih-agihkan daging-daging yang telah siap ditimbang dan dibungkus. Kami anak-beranak melakukannya sendiri kecuali menyembelih yang terpaksa meminta pertolongan keluarga biras.

Hati sayu melihat kehidupan masyarakat kampung yang serba dhaif. Bagi mereka, eidul adha lah masa untuk merasa daging. Setahun hanya sekali. Sungguhpun begitu, mereka sentiasa redha dengan apa yang ada, tidak pernah meminta-minta. Makan mengikut kemampuan mereka, malah itu lebih menguatkan semangat mereka menegakkan agama Allah.

Semangat kejiranan, bergotong-royong dan bekerjasama masih diamalkan. Sekampung dah macam sekeluarga. Itu yang menarik hati saya untuk beraya di kampung tersebut. Rasa meriah walau tak semewah seperti di kampung halaman saya sendiri.

Adat manusia, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Bila dah bersama insan yang tersayang, kita perlulah mendidik diri supaya menerima keluarganya juga. Dan keadaan ini benar-benar menginsafkan diri saya betapa kehidupan kita di Malaysia jauh bezanya dengan masyarakat Islam di kampung tersebut. Kepimpinan negara kita berteraskan agama Islam sedangkan mereka terpaksa menagih simpati daripada kerajaan bukan Islam.

Banyakkanlah bersyukur wahai rakyat Malaysia! Jika kita kata kehidupan kita susah, fikirkanlah bahawa ada orang yang lebih susah hidupnya daripada kita. Maka itulah Allah mendidik kita dengan nikmat dan pemberianNya. Allah telah berjanji di dalam firmanNya, Jika hambaKu bersyukur, nescaya Aku tambahkan nikmat baginya. Dan jika hambaKu kufur, sesungguhnya azabKu amatlah pedih.(Al-Quran)

Semoga kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dan mendapat perlindungan Allah.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan