Selasa, September 11, 2012

Cara Mengelak Iman Jadi Luntur

Bagi mengelak iman daripada menjadi luntur, ikuti beberapa cadangan yang boleh diikuti:
  1. Tingkatkan kualiti ibadah
          Contohnya bagaimana Rasulullah s.a.w. beribadah. Walaupun Baginda telah dijamin syurga, Baginda tetap beribadah dengan baik. Rasulullah bersabda dalam hadis qudsi yang bermaksud:
"Allah berfirman: 'Tidak seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang  paling Aku cintai selain daripada kewajipan yang Aku fardukan kepadanya. Dan hamba-Ku itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadah sunah sehingga Aku mencintainya." (Riwayat al-Bukhari)

    2.   Hati sentiasa khusyuk ketika berhadapan dengan Allah

         Khusyuk hanya diperolehi dengan jalan mujahadah. Punca hilangnya khusyuk ialah hati terlalu keras. Cara untuk melembutkan hati adalah dengan melemahkan nafsu. Berpuasa dapat melunakkan nafsu daripada terus membawa kita kepada kemurkaan Allah. Selain itu, dengan mendekati orang-orang soleh juga dapat menundukkan nafsu kita. Dengan mencontohi tindak-tanduk mereka mendepani kehidupan boleh membimbing kita untuk mendapat khusyuk.

   3.    Selalu menghadiri majlis ilmu

          Manusia mudah lupa dan hilang pedoman hidupnya jika semakin jauh daripada majlis ilmu. Kalau Rasulullah cintakan ilmu maka kita juga perlu cintakan ilmu sekaligus menggambarkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. Hakikatnya dengan ilmu sebenarnya semakin menundukkan kita di hadapan Allah, bukan merasakan diri lebih hebat daripada yang lain.

Langkah-langkah yang dinyatakan di sini adalah asas bagi seseorang untuk mencapai kemanisan iman. Jadi, umat Islam tidak harus mengabaikannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan